Wednesday, July 22, 2009

Lawatan Kerja Ahli Parlimen Johor Bahru Ke Zon Larkin Pada 16 Julai 2009

Selatan: 300 pemilik tanah terima berita gembira

JOHOR BAHRU: Kira-kira 300 pemilik tanah di Kampung Baru Ungku Mohsin, di sini menerima berita gembira apabila kerajaan negeri meluluskan permohonan sambungan tempoh pajakan tanah masing-masing kepada 99 tahun. Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad, berkata sehingga kini sebilangan pemilik tanah di perkampungan terbabit yang menghantar permohonan sambungan pajakan, sudah diluluskan kerajaan negeri. "Keputusan kerajaan untuk menyambung semua tempoh pajakan tanah di negeri ini, bertepatan dengan manifesto saya dalam pilihan raya umum lalu, iaitu mengatasi masalah berkaitan dengan pemilikan tanah pajakan di kawasan Parlimen Johor Bahru," katanya di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan gerak mesra ke beberapa kawasan di Parlimen Johor Bahru termasuk Dewan Raya Taman Datuk Onn, landasan kereta api di Larkin Jaya serta projek terbengkalai di Larkin Perdana. Awal bulan lalu, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) memaklumkan bahawa semua tanah pajakan akan disambung secara automatik selama 99 tahun sekiranya pemilik memohon tempoh sambungan. Shahrir berkata, tempoh pajakan di Kampung Baru Ungku Mohsin itu kini tinggal 33 tahun dan ia menimbulkan kegusaran di kalangan pemilik, selain menyebabkan ada hartanah di kawasan itu, tidak boleh dijual berikutan keengganan institusi kewangan memberi pinjaman.
Sementara itu, Shahrir berkata, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memeriksa status projek terbengkalai di Larkin Perdana yang kini bertukar menjadi takungan air berikutan hakisan tanah. Katanya, projek itu sepatutnya untuk pembangunan bercampur, tetapi terbengkalai sejak lebih dua dekad lalu. Mengulas mengenai keadaan semak di sepanjang landasan kereta api antara Johor Bahru dan Kempas berdekatan Larkin Jaya, Shahrir berkata, beliau dimaklumkan kontraktor sudah dilantik untuk kerja pembersihan laluan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kegiatan tidak diingini di kawasan itu. "Tiga tahun lalu kita mengesan kegiatan penagihan di kawasan itu dan pihak berkuasa sudah menyerbu kawasan berkenaan. Jadi, kegiatan itu mungkin berulang sekiranya tiada pihak yang memantau kawasan itu.
“Setakat ini, Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) sudah melantik kontraktor untuk menjalankan kerja pembersihan," katanya.
Selasa 21 Julai 2009 - Berita Harian Sdn. Bhd.


















































No comments:

Post a Comment